2011-11-29

Hassan Al-Banna



Tanggal 12 Februari 1949 telah meninggalkan sejarah hitam bagi gerakan Islam seluruhnya. Dunia kehilangan seorang ulama' ulung yang mempelopori gerakan mengembalikan Islam ke puncak kegemilangannya.

As Syahid Hassan Al Banna belum sempat melihat Islam didaulatkan kembali setelah kejatuhan khilafah Othmaniyyah, tetapi beliau telah menang dalam pertarungan mendapatkan syahid. Pemergian beliau bukan secara kebetulan, tetapi ia merupakan pembunuhan kejam yang terhasil daripada perancangan musuh-musuh Islam yang berselindung di belakang Raja Faroq.

Dua bulan sebelum kejadian, gerakan Islam yang diasaskan oleh As Syahid Hasan Al Banna telah diharamkan oleh kerajaan Mesir. Kesemua cawangannya di sana yang berjumlah lebih daripada 3,000 diarahkan supaya dibubarkan dan sekiranya masih beroperasi akan dikira sebagai pertubuhan haram, pelampau dan pengganas.

Bukanlah suatu yang baharu bagi pemimpin Mesir menjadi 'pak turut' kepada negara-negara Barat. Dalam mengharamkan gerakan Islam ini, kerajaan Mesir secara jelas mengikut telunjuk Amerika Syarikat, Perancis dan Britain.

As Syahid Syed Qutub yang berada di Amerika ketika pembunuhan Hasan AlBanna menceritakan bagaimana rakyat Amerika Syarikat berpesta apabila menerima berita kematian Hassan Al Banna

Ketika kejadian, Hassan Al Banna berjalan bersendirian di jalan Ramsis,Kaherah berhampiran dengan pejabat Jam'iyatus Syubbanil Muslimin(Persatuan Pemuda Islam). Bukti perancangan mereka terbukti apabila jalan yang biasanya sibuk itu menjadi lengang. Lampu-lampu jalan dipadamkan , semua kedai dan restoran ditutup dan tidak ada kenderaan yang dibenarkan melalui jalan berkenaan kecuali sebuah teksi yang beberapa kali berulang-alik mencari 'sesuatu.'

Oleh kerana tiada kenderaan lain, Imam Al Banna menahan teksi berkenaan untuk pulang ke rumahnya. Dengan tidak disangka-sangka, sebaik sahaja teksi berkenaan berhenti di hadapan beliau, tubuh beliau terus dirobek oleh peluru-peluru yang dimuntahkan oleh senjata pemandu teksi berkenaan.

Bagi menyempurnakan lakonan sendiwara seterusnya, Imam Al Banna di bawa ke Hospital Al Qasrul Aini. Di hospital berkenaan, dengan arahan daripada Raja (Al Malik) Faroq, Imam Al Bana di tinggalkan bersendirian tanpa diberi rawatan kecemasan hinggalah beliu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tarikh 12 Februari, lebih 53 tahun yang lalu menjadi saksi pembunuhn kejam dan terancang pihak berkenaan ke atas imamul-jihad, As Syahid Hasan Al Banna.

Bukti Perancangan semakin terserlah apabila pada 4 Julai 1949 kerajaan Al Malik Faroq mengisytiharkan anugerah khas kepada konspirator utama yang merancang pembunuhan berkenaan, iaitu ketua di jabatan siasatan jenayah Kementerian Dalam Negeri, Amir Mahmud Bek Abdul Majid dan pemandu serta pemilik teksi berkenaan.

Ramai berpendapat, Imam Al Banna tidak akan dibunuh jika beliau tidak menyertai jihad menentang Israel

Maka 'jihad'lah yang menjadi punca kemarahan musuh-musuh Islam. Sebelum itu mereka tidak begitu gentar terhadap dakwah Imam Al Banna.

Dakwah yang dilakukan oleh beliau di Mesir adalah dakwah yang penuh dengan hikmah; mengajak manusia kembali kepada Allah, melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangannya. Hasan Al Banna tidak pernah mengkafirkan sesiapa sesuka hati. Tidak pernah mengarahkan sesiapa melakukan pembunuhan ke atas pemimpin-pemimpin tertentu dan tidak pernah merancang untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan.

Dakwah sebegini lazimnya tidak mengundang sebarang tindakan negatif pihak musuh. Tetapi sebaik sahaja melihat kejayaan beliau mengajak umat Islam Mesir menyertai peperangan terhadap penjajah Israel di bumi Palestin, maka musuh-musuh Islam merasa gerun.

Mereka bimbang, orang yang mampu mempengaruhi orang ramai ini akan menumbangkan kuasa mereka suatu hari kelak. Peritiwa ini seakan-akan sama dengan peristiwa Singapura diserang todak. Budak yang berjaya menyelamatkan Singapura daripada diserang todak itu akhirnya dibunuh kerana dibimbangi kepintarannya itu akan menyebabkan kuasa raja tumbang suatu hari kelak.

Sesungguhnya suatu perjuangan itu menuntut pengorbanan yang melibatkan soal menggadai nyawa sendiri.Hassan al Banna merupakan seorang tokoh yang amat bernilai bagi Islam serta pengganutnya seluruh alam kerana perjuangan beliau bukanlah perjuangan peribadi bahkan perjuangan jihad yang bersandarkan kepada jihad mempertahankan dan memperjuangkan agama Islam.

2011-11-22

Mahasiswa Bodoh?



Gabungan beberapa gerakan mahasiswa telah melancarkan "Gerakan menuntut kebebasan akademik" atau Bebas dalam usaha memperjuangkan hak dan kebebasan mahasiswa dan ahli akademik.Sempena pelancaran gerakan itu, mereka yang terdiri daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (Kami) serta Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), telah menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam).Turut serta dalam Bebas adalah Pro Mahasiswa Nasional (ProMN), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) dan Kesatuan Aksi Mahasiswa (Aksi).

Sebenarnya, para pelajar sama ada di dalam atau di luar bilik kuliah, memiliki kuasa yang tidak terbatas untuk mempersoal, menguji idea dan mengeluarkan kenyataan kontroversi dan tidak popular tanpa mengira sama ada pendapat tersebut bercanggah atau tidak dengan pendapat umum.Malahan institusi akademik tidak berhak untuk mengekang kebebasan akademik dalam kalangan kakitangan universiti atau menggunakan praktis kebebasan akademik sebagai sebab untuk mengenakan tindakan tatatertib kerana apa yang dizahirkan itu adalah bertujuan untuk menyatakan rasa tidak setuju dengan tindakan pihak tertentu yang sememang perlukan teguran ilmiah terutamanya daripada para ahli ilmiah seperti para pelajar mahupun pihak selayaknya.

Sementara itu, dalam memorandum yang turut diserahkan kepada Suhakam pula, mereka menuntut enam perkara pokok yang ditafsirkan sebagai kebebasan kepada mahasiswa dan golongan akademik.Antaranya termasuklah :

  1. memansuhkan AUKU dan AKTA 174.
  2. membebaskan ilmuan berakademik.
  3. membebaskan mahasiswa bersuara.
  4. memberi hak mahasiswa mengurus pilihan raya kampus.
  5. membebaskan mahasiswa mengurus persatuan dan aktiviti.
  6. memberi hak kepada mahasiswa terlibat dalam politik.

Bagi saya sendiri sebenarnya wajar pihak yang berkenaan mengambil langkah yang paling berkesan dalam menggubal sesuatu akta yang kadang kala boleh dilihat memberati sebelah pihak dan menekan suatu pihak lain.Walhal golongan ilmiah seperti para pendidik dan pelajar patut diambil pertimbangan dan pendapat mereka untuk digunakan sebagai rujukan mahupun sandaran.

dipetik dan diubahsuai daripada: harakahdaily

NFC Bukan Sekadar Lembu





Koordinator Jingga 13, Fariz Musa mendesak National Feedlot Corporation (NFC) mendedahkan penyewa kondominium One Menerung di Bangsar yang didakwa membayar sewa bulanan RM70 ribu sebulan.

Fariz menggesa Pengarah Eksekutif NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail mendedahkan penyewa terbabit sekiranya benar kondominium itu dibeli untuk tujuan pelaburan, lapor KeadilanDaily.

“Kami pertikaikan kenyataan Datuk Seri Mohamad Salleh yang menyatakan sewa kondominium itu adalah RM70 ribu sebulan.

“Kami gesa Datuk Mohamad Salleh dedahkan siapakah yang menyewa kondominium itu,” kata Fariz.

Beliau yang lebih dikenali sebagai cikgu Fariz mendesak perkara itu sebelum membuat laporan polis terhadap NFC di Balai Polis Dang Wangi, tengah hari tadi.

Menurut Fariz, pengakuan Mohamad Salleh bahawa NFC membeli bukan satu tetapi dua kondominium kononnya sebagai instrumen pelaburan adalah satu bukti nyata aktiviti pecah amanah.

Jingga 13, satu NGO yang memperjuangkan isu-isu yang dekat dengan masayarakat telah membuat laporan pertama di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Putrajaya minggu lalu.

SPRM kemudian menghubungi Fariz dan memaklumkan yang laporan itu kini diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia dan disiasat di bawah Akta 613, Seksyen 409 Kanun Keseksaan bersabit aktiviti jenayah pecah amanah.

Laporan pertama Jingga 13 itu memetik harga kondominium dibeli NFC sebanyak RM9.8 juta.

Namun, pengakuan Mohamad Salleh bahawa NFC, sebuah syarikat penternakan lembu yang dibiayai kerajaan- sebenarnya membeli dua unit kondominium mewah berharga RM13.8 juta mendorong Jingga 13 untuk membuat laporan baru pagi tadi.

Semalam, PKR mendakwa NFC membelanjakan RM32,000 wang rakyat bagi membiayai pakej umrah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil dan keluarganya

Petikan daripada laporan berita harakah daily.
Menurut laporan didapati  kesamaran mengenai projek NFC semakin jelas kedangalan dan kesangsian disebalik penggunaan kondominium sebagai instrumen pelaburan.Diharapkan pihak terbabit tampil membuat kenyataan dan pengakuan jujur terhadap kesangsian yang timbul agar rakyat tidak salah faham dan jika benarlah seperti yang dinyatakan oleh pihak pendakwa maka sewajarnya pihak terbabit membetulkan kesilapan mereka.

2011-11-17

Taubat Nasuha




ALLAH swt sentiasa memerintahkan kita supaya bertaubat, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.” (At-Tahrim: 8.)
Allah telah membuka pintu harapan kepada hamba-hambaNya: “Katakanlah; wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar: 53)
Syarat-syarat taubat :
  1. Ikhlas ingin bertaubat
  2. Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi
  3. Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan
  4. Harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya
  5. Dikerjakan sebelum ajal tiba
Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu tidaklah sah. Jika dosa berkaitan dengan manusia yang lain, maka syaratnya ditambah lagi, iaitu harus dapat membebaskan diri dari hak orang yang berkaitan. Contohnya jika hal itu berbentuk harta, harus dikembalikan. Jika berbentuk hukuman, ia harus menyerahkan diri mohon dimaafkan. Jika hal berupa cacian dan sebagainya, maka ia harus memohon keredhaannya.
Waktu melaksanakan taubat :
Taubat tidak boleh diundur-undur atau ditunda. Kerana jika demikian ia sangat berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera menyucikan diri sedikit demi sedikit, maka pengaruh dosa itu akan bertompok-tompok, dan akhirnya akan merosakkan hati sehingga tertutup dari cahaya kebenaran.
Di antara penyebab yang akan membangkitkan jiwa bertaubat seseorang itu adalah jiwa yang selalu mengingati hari kematian dan hidup bersendirian di dalam kubur. Kata-kata mati adalah sesuatu yang sangat menakutkan kebanyakan manusia. Mati beerti berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai. Hari terputusnya segala nikmat. Sedangkan berpisah sebentar sahaja dengan anak atau isteri, dapat mengalirkan air mata kesedihan, apa lagi berpisah untuk selamanya
Firman Allah: “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula.” (Az-Zumar: 30)
Di samping mengingat tentang azab penderitaan yang bakal dihadapi oleh orang-orang yang berdosa mengingat kenikmatan syurga yang bakal ditempati oleh orang-orang yang soleh juga akan dapat membangkitkan keinginan jiwa untuk melakukan taubat dengan segera.
Cara melaksanakan solat taubat :
Cara melaksanakan solat taubat ini sama dengan solat biasa, iaitu setelah berwuduk dengan sempurna, lalu berdiri di tempat yang suci, menghadap kiblat;
  • Waktu di lakukan – bila-bila masa merasa telah berbuat dosa (kecuali waktu makruh tahrim utk melakukan solat)*. Sebaik-baiknya 2/3 malam (pukul 2 pagi ke atas), semasa Qiyamullail
  • Lafaz niat: “Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.” (Cukup di dalam hati, ada perbahasan ulama’ tentang lafaz niat dlm ibadah – sila rujuk kpd pakar feqah)
  • Rakaat pertama membaca (disunatkan membaca doa Iftitah) kemudian surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Rakaat kedua membaca surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Semasa sujud akhir rakaat kedua, ucapkanlah Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali (bersungguh-sungguh di dalam hati memohon keampunan dari Allah Ta’ala),
  • 027alquran3.gif
    Ertinya: “Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”
  • Selepas salam, perbanyakkan istighfar seperti,
munajat1.jpg
Ertinya: Ampunilah hamba Ya Allah. Tuhan yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang lain melainkan hanya Engkau. Dialah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Perkasa dan hamba bertaubat kepada Engkau ya Allah.
  • dan berdoa dengan Penghulu Istighfar,
penghulu.jpg
Ertinya: “Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”

  • Kemudian boleh juga berdoa mengikut luahan hati dan munajat masing-masing ke hadhrat Allah.

*Makruh tahrim – Petikan dari “170 Solat-Solat Sunat”, Abd Rahman Mukhlis, Terbitan Jasmin Enterprise, ms 8-9 ;
Fuqaha Syafi’iyah berpendapat bahawa makruh tahrim hukumnya melaksanakan sembahyang sunat tanpa sebab, dan sembahyang itu dipandang tidak sah jika dilakukan dalam lima waktu berikut:
  1. Selepas sembahyang Subuh yang dilaksanakan secara tunai (bukan sembahyang qadha’), hingga matahari menyingsing sepenggalah.
  2. Ketika matahari terbit hingga menyingsing seperti galah.
  3. Selepas melakukan sembahyang Asar yang dilaksanakan secara tunai sekalipun ia dijamak dengan Zuhur pada waktu Zuhur (jamak taqdim).
  4. Ketika matahari berwarna kuning, hingga terbenam seluruhnya.
  5. Ketika matahari benar-benar berada di atas kepala (di tengah-tengah langit) hingga gelincir ke Barat. Kecuali waktu Istiwa’ (matahari berada di tengah-tengah langit pada hari Jumaat.
Bagaimanapun, jika sembahyang yang dilakukan itu ada sebab yang mendahuluinya seperti sembahyang Tahiyyatul Masjid, walaupun khatib sudah berada di atas mimbar, sembahyang Sunat Wuduk dan sembahyang Sunat Tawaf sebanyak dua rakaat.
Begitu juga sembahyang yang mempunyai waktu terkait (muqayyad), seperti sembahyang Istisqa’ dan sembahyang Gerhana Matahari. Maka hukumnya adalah sah tanpa dimakruhkan, sebab ia terkait dengan turunnya hujan dan terhalangnya cahaya matahari.
Adapun melaksanakan sembahyang sunat ketika bilal qamat adalah makruh tanzih, kecuali ketika qamat sembahyang Jumaat. Sembahyang sunat yang dilakukan ketika bilal sudah qamat pada sembahyang Jumaat adalah haram hukumnya.

sumber: ohislam.com

2011-11-10

4 Jenis Masa



Pada suatu Subuh, Saidina Bilal melihat Rasulullah s.a.w menangis teresak-esak. Apabila Bilal bertanya mengapakah baginda menangis, lalu Rasulullah menjawab baginda baru saja menerima wahyu iaitu 

(ayat 191 hingga 195 daripada surah Ali-Imran).

Mengapa Rasulullah menangis? Dalam ayat pertama, Allah menerangkan mengenai sifat orang yang mengingati-Nya pada waktu berdiri, duduk dan berbaring. 

Menurut Abdullah Yusuf Ali dalam tafsirnya, semua keadaan itu (berdiri, duduk dan berbaring) adalah simbolik untuk semua keadaan termasuk peribadi, kemasyarakatan, ekonomi dan lain-lain. Maknanya dalam seluruh hidup kita sama ada belajar, bekerja, bergaul, berumah tangga malah apa saja, adalah dalam keadaan sentiasa mengingati Allah. 

Apakah yang dimaksudkan dengan sentiasa mengingati Allah? Adakah ini bermakna kita menyebut perkataan Allah, Allah, Allah, pada setiap masa? Sebenarnya apa yang dituntut Allah ialah supaya kita menentukan setiap perkara yang kita lakukan mestilah: 


  •  Mencari matlamat Allah 
  •  Dilaksanakan mengikut syariat Allah 
  •  Meletakkan pengharapan kepada Allah, bukan kepada usaha kita semata-mata.
 

Ini bermakna kita perlu sentiasa memikirkan adakah kehidupan kita seluruhnya berada dalam keadaan seperti di atas. Adakah kita menjadikan seluruh hidup kita sebagai perhambaan kepada Allah dalam pengertian di atas? 

Dalam ayat seterusnya Allah menyebutkan sifat mereka yang berfikir mengenai keajaiban kejadian langit dan bumi. Mereka berfikir sehingga dapat membuat kesimpulan bahawa semuanya dijadikan Allah bukan sia-sia. 

Kemudian mereka berdoa supaya ‘selamatkanlah’ diri mereka daripada api neraka. Abdullah Yusuf Ali menafsirkan api adalah simbolik kepada hukuman yang pedih. 

Apa yang penting di sini adalah hubungan antara berfikir dengan selamat daripada api neraka. Marilah kita bertanya diri sendiri adakah kita sudah berfikir dengan bersungguh-sungguh sehingga kita merasai akan kehebatan ciptaan Allah? 

Banyak perkara yang boleh kita fikirkan sebagai contoh penciptaan manusia sendiri dan penciptaan unsur utama alam iaitu udara, air, tumbuhan dan haiwan. 

Kehebatan ciptaan Allah sepatutnya menjadikan hati kita tunduk pada kebesaran Allah. Apabila kita tunduk pada kebesaran Allah, kita akan mematuhi segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya. 

Kita harus sedar kejayaan yang sebenar apabila kita selamat daripada api neraka. Allah menyebutkan dalam ayat di atas, sesiapa yang dimasukkan ke dalam api neraka sebenarnya mendapat kehinaan. 

Cuba kita sama-sama fikirkan mengenai kegagalan yang dialami di dunia ini. Sekiranya kita gagal peperiksaan pun kita berasa malu dan terhina. 

Begitu juga dengan orang yang didapati bersalah dan dihukum penjara, mereka pasti berasa hina yang lebih besar lagi. Jadi, satu ciri azab akhirat ialah kehinaan. 

Kita terhina di hadapan seluruh manusia, di hadapan Allah dan malaikat-Nya. Bukankah ini sumber motivasi yang terbesar untuk manusia mengabdikan diri kepada Allah dalam pengertian sebenarnya? 

Dalam ayat di atas juga disebutkan, mereka berdoa sekali lagi supaya Allah tidak menghinakan mereka di akhirat. Ini menunjukkan betapa beratnya seksaan menanggung kehinaan di akhirat nanti. 

Lebih berat daripada segala bentuk kehinaan di dunia. Akhirnya Allah memperkenankan permohonan mereka dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai di bawahnya. 

Sekali lagi, Abdullah Yusuf Ali mengatakan sungai yang mengalir di bawahnya adalah simbol kebahagiaan dan kemewahan yang tidak terhingga yang sesuai dengan keadaan masyarakat Arab pada masa itu (ketika wahyu diturunkan). 

Sungai adalah nikmat yang tidak terhingga bagi masyarakat yang hidup di tengah padang pasir yang kering kontang. Oleh itu, sudah tentu kita boleh 
membayangkan bentuk kemewahan dan kenikmatan yang tidak terhingga itu. 

Rasulullah pernah bersabda bahawa nikmat di syurga Allah adalah sesuatu yang tidak pernah dipandang, tidak pernah didengar dan tidak pernah terlintas di hati manusia. Itulah nikmat dan kejayaan sebenar. 

Apakah yang perlu kita fikirkan? Sebenarnya perkara yang disebutkan dalam ayat di atas itulah perkara pertama yang perlu kita fikirkan. 

Selain itu, ada perkara lain lagi yang perlu kita fikirkan. Rasulullah pernah menceritakan mengikut apa yang tersebut di dalam kitab Nabi Ibrahim a.s yang bermaksud: “Sewajarnya setiap yang berakal, selagi akal fikirannya tidak hilang, membahagikan masanya kepada empat waktu iaitu: 

  •  Waktu untuk dia bermunajat (berzikir dan berdoa) kepada Allah. 
  •  Waktu untuk dia bermuhasabah terhadap dirinya. 
  •  Waktu untuk dia berfikir mengenai ciptaan Allah. 
  •  Waktu untuk dia menumpukan kepada keperluannya seperti mencari makanan dan minuman. 

Adakah kita sudah memikirkan mengenai empat perkara di atas atau kita menumpukan pemikiran kepada aspek tertentu sahaja? Dunia di sekeliling kita hanya memikirkan mengenai perkara yang keempat. 

Sekiranya kita tidak berhati-hati, suasana yang ada di sekeliling kita boleh mempengaruhi kita sama ada kita sedar atau tidak. 

Mungkin secara tidak disedari kita hanya memikirkan persoalan yang keempat sahaja. Maka amat rugi dan malang sekali diri kita.