2011-11-29

Hassan Al-Banna



Tanggal 12 Februari 1949 telah meninggalkan sejarah hitam bagi gerakan Islam seluruhnya. Dunia kehilangan seorang ulama' ulung yang mempelopori gerakan mengembalikan Islam ke puncak kegemilangannya.

As Syahid Hassan Al Banna belum sempat melihat Islam didaulatkan kembali setelah kejatuhan khilafah Othmaniyyah, tetapi beliau telah menang dalam pertarungan mendapatkan syahid. Pemergian beliau bukan secara kebetulan, tetapi ia merupakan pembunuhan kejam yang terhasil daripada perancangan musuh-musuh Islam yang berselindung di belakang Raja Faroq.

Dua bulan sebelum kejadian, gerakan Islam yang diasaskan oleh As Syahid Hasan Al Banna telah diharamkan oleh kerajaan Mesir. Kesemua cawangannya di sana yang berjumlah lebih daripada 3,000 diarahkan supaya dibubarkan dan sekiranya masih beroperasi akan dikira sebagai pertubuhan haram, pelampau dan pengganas.

Bukanlah suatu yang baharu bagi pemimpin Mesir menjadi 'pak turut' kepada negara-negara Barat. Dalam mengharamkan gerakan Islam ini, kerajaan Mesir secara jelas mengikut telunjuk Amerika Syarikat, Perancis dan Britain.

As Syahid Syed Qutub yang berada di Amerika ketika pembunuhan Hasan AlBanna menceritakan bagaimana rakyat Amerika Syarikat berpesta apabila menerima berita kematian Hassan Al Banna

Ketika kejadian, Hassan Al Banna berjalan bersendirian di jalan Ramsis,Kaherah berhampiran dengan pejabat Jam'iyatus Syubbanil Muslimin(Persatuan Pemuda Islam). Bukti perancangan mereka terbukti apabila jalan yang biasanya sibuk itu menjadi lengang. Lampu-lampu jalan dipadamkan , semua kedai dan restoran ditutup dan tidak ada kenderaan yang dibenarkan melalui jalan berkenaan kecuali sebuah teksi yang beberapa kali berulang-alik mencari 'sesuatu.'

Oleh kerana tiada kenderaan lain, Imam Al Banna menahan teksi berkenaan untuk pulang ke rumahnya. Dengan tidak disangka-sangka, sebaik sahaja teksi berkenaan berhenti di hadapan beliau, tubuh beliau terus dirobek oleh peluru-peluru yang dimuntahkan oleh senjata pemandu teksi berkenaan.

Bagi menyempurnakan lakonan sendiwara seterusnya, Imam Al Banna di bawa ke Hospital Al Qasrul Aini. Di hospital berkenaan, dengan arahan daripada Raja (Al Malik) Faroq, Imam Al Bana di tinggalkan bersendirian tanpa diberi rawatan kecemasan hinggalah beliu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tarikh 12 Februari, lebih 53 tahun yang lalu menjadi saksi pembunuhn kejam dan terancang pihak berkenaan ke atas imamul-jihad, As Syahid Hasan Al Banna.

Bukti Perancangan semakin terserlah apabila pada 4 Julai 1949 kerajaan Al Malik Faroq mengisytiharkan anugerah khas kepada konspirator utama yang merancang pembunuhan berkenaan, iaitu ketua di jabatan siasatan jenayah Kementerian Dalam Negeri, Amir Mahmud Bek Abdul Majid dan pemandu serta pemilik teksi berkenaan.

Ramai berpendapat, Imam Al Banna tidak akan dibunuh jika beliau tidak menyertai jihad menentang Israel

Maka 'jihad'lah yang menjadi punca kemarahan musuh-musuh Islam. Sebelum itu mereka tidak begitu gentar terhadap dakwah Imam Al Banna.

Dakwah yang dilakukan oleh beliau di Mesir adalah dakwah yang penuh dengan hikmah; mengajak manusia kembali kepada Allah, melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangannya. Hasan Al Banna tidak pernah mengkafirkan sesiapa sesuka hati. Tidak pernah mengarahkan sesiapa melakukan pembunuhan ke atas pemimpin-pemimpin tertentu dan tidak pernah merancang untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan.

Dakwah sebegini lazimnya tidak mengundang sebarang tindakan negatif pihak musuh. Tetapi sebaik sahaja melihat kejayaan beliau mengajak umat Islam Mesir menyertai peperangan terhadap penjajah Israel di bumi Palestin, maka musuh-musuh Islam merasa gerun.

Mereka bimbang, orang yang mampu mempengaruhi orang ramai ini akan menumbangkan kuasa mereka suatu hari kelak. Peritiwa ini seakan-akan sama dengan peristiwa Singapura diserang todak. Budak yang berjaya menyelamatkan Singapura daripada diserang todak itu akhirnya dibunuh kerana dibimbangi kepintarannya itu akan menyebabkan kuasa raja tumbang suatu hari kelak.

Sesungguhnya suatu perjuangan itu menuntut pengorbanan yang melibatkan soal menggadai nyawa sendiri.Hassan al Banna merupakan seorang tokoh yang amat bernilai bagi Islam serta pengganutnya seluruh alam kerana perjuangan beliau bukanlah perjuangan peribadi bahkan perjuangan jihad yang bersandarkan kepada jihad mempertahankan dan memperjuangkan agama Islam.

2011-11-22

Mahasiswa Bodoh?



Gabungan beberapa gerakan mahasiswa telah melancarkan "Gerakan menuntut kebebasan akademik" atau Bebas dalam usaha memperjuangkan hak dan kebebasan mahasiswa dan ahli akademik.Sempena pelancaran gerakan itu, mereka yang terdiri daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (Kami) serta Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), telah menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam).Turut serta dalam Bebas adalah Pro Mahasiswa Nasional (ProMN), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) dan Kesatuan Aksi Mahasiswa (Aksi).

Sebenarnya, para pelajar sama ada di dalam atau di luar bilik kuliah, memiliki kuasa yang tidak terbatas untuk mempersoal, menguji idea dan mengeluarkan kenyataan kontroversi dan tidak popular tanpa mengira sama ada pendapat tersebut bercanggah atau tidak dengan pendapat umum.Malahan institusi akademik tidak berhak untuk mengekang kebebasan akademik dalam kalangan kakitangan universiti atau menggunakan praktis kebebasan akademik sebagai sebab untuk mengenakan tindakan tatatertib kerana apa yang dizahirkan itu adalah bertujuan untuk menyatakan rasa tidak setuju dengan tindakan pihak tertentu yang sememang perlukan teguran ilmiah terutamanya daripada para ahli ilmiah seperti para pelajar mahupun pihak selayaknya.

Sementara itu, dalam memorandum yang turut diserahkan kepada Suhakam pula, mereka menuntut enam perkara pokok yang ditafsirkan sebagai kebebasan kepada mahasiswa dan golongan akademik.Antaranya termasuklah :

  1. memansuhkan AUKU dan AKTA 174.
  2. membebaskan ilmuan berakademik.
  3. membebaskan mahasiswa bersuara.
  4. memberi hak mahasiswa mengurus pilihan raya kampus.
  5. membebaskan mahasiswa mengurus persatuan dan aktiviti.
  6. memberi hak kepada mahasiswa terlibat dalam politik.

Bagi saya sendiri sebenarnya wajar pihak yang berkenaan mengambil langkah yang paling berkesan dalam menggubal sesuatu akta yang kadang kala boleh dilihat memberati sebelah pihak dan menekan suatu pihak lain.Walhal golongan ilmiah seperti para pendidik dan pelajar patut diambil pertimbangan dan pendapat mereka untuk digunakan sebagai rujukan mahupun sandaran.

dipetik dan diubahsuai daripada: harakahdaily

NFC Bukan Sekadar Lembu





Koordinator Jingga 13, Fariz Musa mendesak National Feedlot Corporation (NFC) mendedahkan penyewa kondominium One Menerung di Bangsar yang didakwa membayar sewa bulanan RM70 ribu sebulan.

Fariz menggesa Pengarah Eksekutif NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail mendedahkan penyewa terbabit sekiranya benar kondominium itu dibeli untuk tujuan pelaburan, lapor KeadilanDaily.

“Kami pertikaikan kenyataan Datuk Seri Mohamad Salleh yang menyatakan sewa kondominium itu adalah RM70 ribu sebulan.

“Kami gesa Datuk Mohamad Salleh dedahkan siapakah yang menyewa kondominium itu,” kata Fariz.

Beliau yang lebih dikenali sebagai cikgu Fariz mendesak perkara itu sebelum membuat laporan polis terhadap NFC di Balai Polis Dang Wangi, tengah hari tadi.

Menurut Fariz, pengakuan Mohamad Salleh bahawa NFC membeli bukan satu tetapi dua kondominium kononnya sebagai instrumen pelaburan adalah satu bukti nyata aktiviti pecah amanah.

Jingga 13, satu NGO yang memperjuangkan isu-isu yang dekat dengan masayarakat telah membuat laporan pertama di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Putrajaya minggu lalu.

SPRM kemudian menghubungi Fariz dan memaklumkan yang laporan itu kini diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia dan disiasat di bawah Akta 613, Seksyen 409 Kanun Keseksaan bersabit aktiviti jenayah pecah amanah.

Laporan pertama Jingga 13 itu memetik harga kondominium dibeli NFC sebanyak RM9.8 juta.

Namun, pengakuan Mohamad Salleh bahawa NFC, sebuah syarikat penternakan lembu yang dibiayai kerajaan- sebenarnya membeli dua unit kondominium mewah berharga RM13.8 juta mendorong Jingga 13 untuk membuat laporan baru pagi tadi.

Semalam, PKR mendakwa NFC membelanjakan RM32,000 wang rakyat bagi membiayai pakej umrah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil dan keluarganya

Petikan daripada laporan berita harakah daily.
Menurut laporan didapati  kesamaran mengenai projek NFC semakin jelas kedangalan dan kesangsian disebalik penggunaan kondominium sebagai instrumen pelaburan.Diharapkan pihak terbabit tampil membuat kenyataan dan pengakuan jujur terhadap kesangsian yang timbul agar rakyat tidak salah faham dan jika benarlah seperti yang dinyatakan oleh pihak pendakwa maka sewajarnya pihak terbabit membetulkan kesilapan mereka.

2011-11-17

Taubat Nasuha




ALLAH swt sentiasa memerintahkan kita supaya bertaubat, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.” (At-Tahrim: 8.)
Allah telah membuka pintu harapan kepada hamba-hambaNya: “Katakanlah; wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar: 53)
Syarat-syarat taubat :
  1. Ikhlas ingin bertaubat
  2. Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi
  3. Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan
  4. Harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya
  5. Dikerjakan sebelum ajal tiba
Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu tidaklah sah. Jika dosa berkaitan dengan manusia yang lain, maka syaratnya ditambah lagi, iaitu harus dapat membebaskan diri dari hak orang yang berkaitan. Contohnya jika hal itu berbentuk harta, harus dikembalikan. Jika berbentuk hukuman, ia harus menyerahkan diri mohon dimaafkan. Jika hal berupa cacian dan sebagainya, maka ia harus memohon keredhaannya.
Waktu melaksanakan taubat :
Taubat tidak boleh diundur-undur atau ditunda. Kerana jika demikian ia sangat berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera menyucikan diri sedikit demi sedikit, maka pengaruh dosa itu akan bertompok-tompok, dan akhirnya akan merosakkan hati sehingga tertutup dari cahaya kebenaran.
Di antara penyebab yang akan membangkitkan jiwa bertaubat seseorang itu adalah jiwa yang selalu mengingati hari kematian dan hidup bersendirian di dalam kubur. Kata-kata mati adalah sesuatu yang sangat menakutkan kebanyakan manusia. Mati beerti berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai. Hari terputusnya segala nikmat. Sedangkan berpisah sebentar sahaja dengan anak atau isteri, dapat mengalirkan air mata kesedihan, apa lagi berpisah untuk selamanya
Firman Allah: “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula.” (Az-Zumar: 30)
Di samping mengingat tentang azab penderitaan yang bakal dihadapi oleh orang-orang yang berdosa mengingat kenikmatan syurga yang bakal ditempati oleh orang-orang yang soleh juga akan dapat membangkitkan keinginan jiwa untuk melakukan taubat dengan segera.
Cara melaksanakan solat taubat :
Cara melaksanakan solat taubat ini sama dengan solat biasa, iaitu setelah berwuduk dengan sempurna, lalu berdiri di tempat yang suci, menghadap kiblat;
  • Waktu di lakukan – bila-bila masa merasa telah berbuat dosa (kecuali waktu makruh tahrim utk melakukan solat)*. Sebaik-baiknya 2/3 malam (pukul 2 pagi ke atas), semasa Qiyamullail
  • Lafaz niat: “Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.” (Cukup di dalam hati, ada perbahasan ulama’ tentang lafaz niat dlm ibadah – sila rujuk kpd pakar feqah)
  • Rakaat pertama membaca (disunatkan membaca doa Iftitah) kemudian surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Rakaat kedua membaca surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Semasa sujud akhir rakaat kedua, ucapkanlah Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali (bersungguh-sungguh di dalam hati memohon keampunan dari Allah Ta’ala),
  • 027alquran3.gif
    Ertinya: “Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”
  • Selepas salam, perbanyakkan istighfar seperti,
munajat1.jpg
Ertinya: Ampunilah hamba Ya Allah. Tuhan yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang lain melainkan hanya Engkau. Dialah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Perkasa dan hamba bertaubat kepada Engkau ya Allah.
  • dan berdoa dengan Penghulu Istighfar,
penghulu.jpg
Ertinya: “Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”

  • Kemudian boleh juga berdoa mengikut luahan hati dan munajat masing-masing ke hadhrat Allah.

*Makruh tahrim – Petikan dari “170 Solat-Solat Sunat”, Abd Rahman Mukhlis, Terbitan Jasmin Enterprise, ms 8-9 ;
Fuqaha Syafi’iyah berpendapat bahawa makruh tahrim hukumnya melaksanakan sembahyang sunat tanpa sebab, dan sembahyang itu dipandang tidak sah jika dilakukan dalam lima waktu berikut:
  1. Selepas sembahyang Subuh yang dilaksanakan secara tunai (bukan sembahyang qadha’), hingga matahari menyingsing sepenggalah.
  2. Ketika matahari terbit hingga menyingsing seperti galah.
  3. Selepas melakukan sembahyang Asar yang dilaksanakan secara tunai sekalipun ia dijamak dengan Zuhur pada waktu Zuhur (jamak taqdim).
  4. Ketika matahari berwarna kuning, hingga terbenam seluruhnya.
  5. Ketika matahari benar-benar berada di atas kepala (di tengah-tengah langit) hingga gelincir ke Barat. Kecuali waktu Istiwa’ (matahari berada di tengah-tengah langit pada hari Jumaat.
Bagaimanapun, jika sembahyang yang dilakukan itu ada sebab yang mendahuluinya seperti sembahyang Tahiyyatul Masjid, walaupun khatib sudah berada di atas mimbar, sembahyang Sunat Wuduk dan sembahyang Sunat Tawaf sebanyak dua rakaat.
Begitu juga sembahyang yang mempunyai waktu terkait (muqayyad), seperti sembahyang Istisqa’ dan sembahyang Gerhana Matahari. Maka hukumnya adalah sah tanpa dimakruhkan, sebab ia terkait dengan turunnya hujan dan terhalangnya cahaya matahari.
Adapun melaksanakan sembahyang sunat ketika bilal qamat adalah makruh tanzih, kecuali ketika qamat sembahyang Jumaat. Sembahyang sunat yang dilakukan ketika bilal sudah qamat pada sembahyang Jumaat adalah haram hukumnya.

sumber: ohislam.com

2011-11-10

4 Jenis Masa



Pada suatu Subuh, Saidina Bilal melihat Rasulullah s.a.w menangis teresak-esak. Apabila Bilal bertanya mengapakah baginda menangis, lalu Rasulullah menjawab baginda baru saja menerima wahyu iaitu 

(ayat 191 hingga 195 daripada surah Ali-Imran).

Mengapa Rasulullah menangis? Dalam ayat pertama, Allah menerangkan mengenai sifat orang yang mengingati-Nya pada waktu berdiri, duduk dan berbaring. 

Menurut Abdullah Yusuf Ali dalam tafsirnya, semua keadaan itu (berdiri, duduk dan berbaring) adalah simbolik untuk semua keadaan termasuk peribadi, kemasyarakatan, ekonomi dan lain-lain. Maknanya dalam seluruh hidup kita sama ada belajar, bekerja, bergaul, berumah tangga malah apa saja, adalah dalam keadaan sentiasa mengingati Allah. 

Apakah yang dimaksudkan dengan sentiasa mengingati Allah? Adakah ini bermakna kita menyebut perkataan Allah, Allah, Allah, pada setiap masa? Sebenarnya apa yang dituntut Allah ialah supaya kita menentukan setiap perkara yang kita lakukan mestilah: 


  •  Mencari matlamat Allah 
  •  Dilaksanakan mengikut syariat Allah 
  •  Meletakkan pengharapan kepada Allah, bukan kepada usaha kita semata-mata.
 

Ini bermakna kita perlu sentiasa memikirkan adakah kehidupan kita seluruhnya berada dalam keadaan seperti di atas. Adakah kita menjadikan seluruh hidup kita sebagai perhambaan kepada Allah dalam pengertian di atas? 

Dalam ayat seterusnya Allah menyebutkan sifat mereka yang berfikir mengenai keajaiban kejadian langit dan bumi. Mereka berfikir sehingga dapat membuat kesimpulan bahawa semuanya dijadikan Allah bukan sia-sia. 

Kemudian mereka berdoa supaya ‘selamatkanlah’ diri mereka daripada api neraka. Abdullah Yusuf Ali menafsirkan api adalah simbolik kepada hukuman yang pedih. 

Apa yang penting di sini adalah hubungan antara berfikir dengan selamat daripada api neraka. Marilah kita bertanya diri sendiri adakah kita sudah berfikir dengan bersungguh-sungguh sehingga kita merasai akan kehebatan ciptaan Allah? 

Banyak perkara yang boleh kita fikirkan sebagai contoh penciptaan manusia sendiri dan penciptaan unsur utama alam iaitu udara, air, tumbuhan dan haiwan. 

Kehebatan ciptaan Allah sepatutnya menjadikan hati kita tunduk pada kebesaran Allah. Apabila kita tunduk pada kebesaran Allah, kita akan mematuhi segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya. 

Kita harus sedar kejayaan yang sebenar apabila kita selamat daripada api neraka. Allah menyebutkan dalam ayat di atas, sesiapa yang dimasukkan ke dalam api neraka sebenarnya mendapat kehinaan. 

Cuba kita sama-sama fikirkan mengenai kegagalan yang dialami di dunia ini. Sekiranya kita gagal peperiksaan pun kita berasa malu dan terhina. 

Begitu juga dengan orang yang didapati bersalah dan dihukum penjara, mereka pasti berasa hina yang lebih besar lagi. Jadi, satu ciri azab akhirat ialah kehinaan. 

Kita terhina di hadapan seluruh manusia, di hadapan Allah dan malaikat-Nya. Bukankah ini sumber motivasi yang terbesar untuk manusia mengabdikan diri kepada Allah dalam pengertian sebenarnya? 

Dalam ayat di atas juga disebutkan, mereka berdoa sekali lagi supaya Allah tidak menghinakan mereka di akhirat. Ini menunjukkan betapa beratnya seksaan menanggung kehinaan di akhirat nanti. 

Lebih berat daripada segala bentuk kehinaan di dunia. Akhirnya Allah memperkenankan permohonan mereka dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai di bawahnya. 

Sekali lagi, Abdullah Yusuf Ali mengatakan sungai yang mengalir di bawahnya adalah simbol kebahagiaan dan kemewahan yang tidak terhingga yang sesuai dengan keadaan masyarakat Arab pada masa itu (ketika wahyu diturunkan). 

Sungai adalah nikmat yang tidak terhingga bagi masyarakat yang hidup di tengah padang pasir yang kering kontang. Oleh itu, sudah tentu kita boleh 
membayangkan bentuk kemewahan dan kenikmatan yang tidak terhingga itu. 

Rasulullah pernah bersabda bahawa nikmat di syurga Allah adalah sesuatu yang tidak pernah dipandang, tidak pernah didengar dan tidak pernah terlintas di hati manusia. Itulah nikmat dan kejayaan sebenar. 

Apakah yang perlu kita fikirkan? Sebenarnya perkara yang disebutkan dalam ayat di atas itulah perkara pertama yang perlu kita fikirkan. 

Selain itu, ada perkara lain lagi yang perlu kita fikirkan. Rasulullah pernah menceritakan mengikut apa yang tersebut di dalam kitab Nabi Ibrahim a.s yang bermaksud: “Sewajarnya setiap yang berakal, selagi akal fikirannya tidak hilang, membahagikan masanya kepada empat waktu iaitu: 

  •  Waktu untuk dia bermunajat (berzikir dan berdoa) kepada Allah. 
  •  Waktu untuk dia bermuhasabah terhadap dirinya. 
  •  Waktu untuk dia berfikir mengenai ciptaan Allah. 
  •  Waktu untuk dia menumpukan kepada keperluannya seperti mencari makanan dan minuman. 

Adakah kita sudah memikirkan mengenai empat perkara di atas atau kita menumpukan pemikiran kepada aspek tertentu sahaja? Dunia di sekeliling kita hanya memikirkan mengenai perkara yang keempat. 

Sekiranya kita tidak berhati-hati, suasana yang ada di sekeliling kita boleh mempengaruhi kita sama ada kita sedar atau tidak. 

Mungkin secara tidak disedari kita hanya memikirkan persoalan yang keempat sahaja. Maka amat rugi dan malang sekali diri kita.

2011-10-07

Kisah Benar:Lindungan Kaabah


"Abang! Ini adalah takdir Allah. Kita terima bang dengan penuh redha." Ujur si isteri kepada suami sambil meriba anak cacat yang baru dilahirkan itu.

"Ahhh!! Begitu mudah  kau kata takdir. Ini adalah akibat dirimu yang sial, maka lahirlah anak yang cacat ini...!" jawab suami menafikan kata-kata isterinya.

Si suami terus marah-marah menyalahkan isterinya. Kelahiran anak cacat yang tidak diingini itu kononnya berpunca dari si isteri, isteri yang membawa sial. Isteri bawa malu kepada suami dan seluruh keluarganya.

"Keturunan abang adalah molek-molek belaka. Tak ada yang cacat seperti anak kau ini," berleter si suami dengan bibir mencebik menghina isteri. Isteri terdiam kaku. Dia tidak mahu bersuara lagi. Dia hanya terus menangis dan terus menangis. Itulah bermulanya detik kepahitan hidup yang dirasai oleh seorang ibu muda. Mimpi indah selama ini telah padam dan diganti dengan kepahitan. Derita dan susah. Dirinya dihina dan dicemuh oleh suami sendiri.

Bayi yang masih merah disisinya itu belum tahu erti penderitaan dalam hidup. Ibunya tidak mahu menyoal kenapa anaknya dilahirkan cacat. Cacat yang belum pernah dialami oleh anak-anak lain di kampungnya. Cacat kurang jari pernah berlaku. Bibir sumbing pernah terjadi.

"Tapi, anakku cacat tak punya kaki, tak punya tangan," bisik si ibu di dalam hati. Hatinya sebak dan dia menangis lagi, sedih dan pilu.

"Tak apalah suami ku menghina, jiran-jiran pun turut menghina aku," bisik hati si ibu dengan sedih dan terus menangis.

"Ya Allah! Berilah kesabaran kepadaku..." Dia berdoa sambil menadah tangan.

Si ibu menarik nafas panjang. Alhamdulillah lega sedikit. Sebahagian ruang rumahnya mulai disinari cahaya matahari pagi. Kini dia hanya bersama dengan bayinya. Suaminya telah keluar entah ke mana. Wajah bayi yang comel itu ditatapnya dengan penuh kasih sayang. Bayi itu diberi nama Hasan.

"Hasan, anak ku sayang! Aku tetap sayang padamu. Kelahiran mu adalah atas kehendak Allah. Kau ditakdirkan Allah jadi begini. Allah Maha Kaya, nak," bisik hati si ibu dengan tenang, penuh radha atas ketentuan Ilahi.

"Ya Allah, Kau takdirkan anak ku cacat begini. Aku yakin Engkau jugalah yang akan melimpahkan rahmat dan berkat pada dirinya," bisik hati si ibu lagi menaruh harapan penuh pada Tuhan Yang Maha Kaya.

Si anak semakin membesar. Kini dia telah berusia dua tahun. Si bapa telah lari entah ke mana. Si ibulah yang tetap membelanya dengan penuh kasih sayang. Apabila ke pasar, bayi itu dimasukkan di dalam periuk. Periuk itu dibimbit kesana-kemari. Ada orang yang bersimpati dan memberi wang, tetapi ramai yang terus mencemuh dan menghina. Ketika si anak masuk usianya lima belas tahun, penderitaan si ibu semakin bertambah berat. Ramai orang, terutama wanita-wanita terus menghina dan mencemuhnya. Akhirnya dia berpakat dengan anaknya untuk menginggalkan kampung halaman.

"Hasan, Ibu ada cadangan," ujur si ibu kepada anaknya pada suatu pagi. "Cadangan apa ibu?" tanya Hasan. "Kita jual harta pusaka peninggalan atuk dan kita pergi ke Tanah Suci Makkah. Kalau boleh kita terus tinggal disana," ujur si ibu kepada Hasan.

"Elok cadangan ibu tu. Di sana kita boleh ibadah banyak-banyak. Bumi Allah ini luas bu..." anak yang lincah dan cerdik itu beri persetujuan.

Alhamdulillah, akhirnya hajat dua beranak itu dimakbulkan Allah. Setelah mohon maaf kepada sanak-saudara, maka keduanya pun berangkatlah ke Tanah Suci Makkah. Meninggalkan kampung halaman yang terletak di salah sebuah wilayah kawasan Melayu di Selatan Thailand. Peristiwa ini berlaku sekitar tahun 50-an.

Bumi Makkah kini telah meriah. Tidak seperti mula-mula dahulu, ketika diteroka oleh keluarga Nabi Allah Ibrahim a.s. Waktu itu sunyi sepi. Tiada manusia yang tinggal disana, tiada air dan tiada tumbuh-tumbuhan. Berkat ketakwaan Siti Hajar dan berkat doa Nabi Ibrahim a.s. kini Makkah menjadi sebuah bandar yang makmur. Ramai penghuninya yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Dan, disana ramai orang-orang yang datang dari tanah Jawi. Maksudnya dari kawasan Tenggara Asia termasuk dari selatan Thailand. Si ibu bersama anaknya yang baru datang itu telah disambut dan diterima dengan baik oleh orang-orang Makkah, khususnya yang berasal dari selatan Thailand yang banyak menetap disana.

"Jangan susah-susah, kak. Tinggallah di rumah kami. Anggaplah kami ini seperti keluarga kakak. Kita sama-sama merantau, mengharap Rahmat di bumi Makkah," ujur seorang yang berasal dari Yala yang baik hati.

Kedua beranak itu pun tinggal di rumah tersebut. Si ibu membantu kerja-kerja rumah. Anak yang cacat tetapi pandai membaca al-Quran itu mengajar mengaji kepada anak tuan rumah dan anak-anak jirannya. Alhamdulillah, kehidupan mereka berdua benar-benar berubah. Hilang segala penderitaan dan kesusahan bertukar aman tenteram. Rezeki datang tak putus-putus.

Pada suatu hari, ketika waktu solat, si ibu ke masjid bersama anaknya. Anaknya itu didudukkan di atas kerusi roda. Sampai di masjid, anaknya itu ditinggalkan di serambi masjid. Si ibu masuk ke kawasan kaum wanita di dalam masjid. Di Makkah boleh dikatakan sudah menjadi satu budaya iaitu sesiapa yang kelihatan dhaif, lebih-lebih lagi cacat maka amat mudahlah menerima sedekah daripada para dermawan. Bersedekah amat digalakkan dalam Islam terutama kepada yang susah, tetapi umat Islam dilarang daripada menerima sedakah kecuali jika miskin, cacat dan tak mampu untuk bekerja.

Hasan secara terpaksa untuk menerima sedekah orang ramai yang mencurah-curah sebelum dan selepas orang ramai menunaikan solat. Kehidupan dua beranak itu agak lega. Bagaimanapun Hasan tidak lupa kaum keluarganya yang susuh di kampung. Dia selalu mengirimkan wang dan hadiah kepada mereka menerusi jemaah haji yang datang dari kampungnya.

Pada suatu hari, salah seorang Raja Saudi berkunjung ke Masjidil Haram. Baginda telah bertemu dengan Hasan. Hasan telah disoal dengan panjang lebar. Dari mana asal datangnya, dengan siapa dia tinggal di Makkah dan lain-lain lagi.

"Kamu mulai dari hari ini jangan minta sedekah lagi. Beta akui kamu sebagai rakyat Saudi. Kamu akan diberi sara hidup bulanan. Kamu juga dianugerahkan sebuah rumah," titah Raja itu kepada Hasan.

Betapa gembiranya Hasan pada masa itu, kerana terlalu gembira hinggakan dia menitiskan air matanya membasahi pipinya.

"Alhamdulillah syukur...! Terima kasih tuanku, Terimakasih tuanku, Terimakasih tuanku," ujur Hasan beberapa kali denga rasa kegembiraan yang tidak terhingga.

Apabila si ibu mengtahui akan hal itui, betapa gembiranya si ibu. "Inilah berkat dan rahmat limpahan Allah kerana kita bernaung dibawah lindungan Kaabah-Nya, wahai anakku," ujur si ibu dengan menitiskan air mata gembira sambil memeluk dan mengucup dahi anaknya.

Beberapa tahun kemudian usia Hasan telah pun meningkat kepada dua puluh lima tahun. Walaupun dia kudung kedua-dua belah tangan dan kakinya, namun badannya dalam keadaan sihat, dan sebagai insan biasa dia juga memiliki naluri sebagai manusia yang lain.

"Aku sihat, wang saraan hidup aku setiap bulan sangat lumayan, lebih dari cukup untuk keperluan diriku dan ibuku, malah rasanya aku mampu untuk meyara isteri dan anak-anakku yang bakal lahir," bisik hati Hasan. "Tetapi aku cacat.... siapa yang sudi menjadi isteriku?" Hasan bersedih mengenangkan nasib dirinya. Kesedihan itu berlarutan beberapa hari sejak kebelangan ini dan hal ini diketahui oleh ibunya.

"Kenapa kau sedih Hasan? Apa yang kurang untukmu. Wang ada, makanan cukup, rumah tempat kediaman pun ada," tanya si ibu kepada Hasan, anak kesayangannya. "Kau beritahulah kepada ibu, Hasan. Apa masalahmu?"

Hasan tak menjawab dan hanay mendiamkan diri. Si ibu yang tajam pemikiran itu akhirnya dapat mengagak kenapa anaknya bersedih. "Hasan, kau ingin mencari jodoh? tanya si ibu.

"Siapalah orangnya yang sudi menjadi isteri saya, ibu? Saya cacat," jawab Hasan.

"Hasan, kalau sungguh kau ingin beristeri, jangan susah hati. Ibu akan berdoa kepada Allah dan kau pun berdoa juga. Allah Maha Kaya, Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Hasan," nasihat si ibu dengan suara yang lunak.

Hasil perbincangan kedua beranak itu maka akhirnya dihantarlah seorang utusan ke kampung halaman mereka di selatan Thailand dengan membawa sekeping gambar wajah Hasan yang memang lawa itu. Orang itu diamanahkan untuk mencari jodoh wanita solehah dan berbudi bahasa. Dia diwakilkan menerima akad bagi pihak dari Hasan.

Alhamdulillah, dengan pertolongan Allah, jodoh ditemui dan akhirnya diijab-qabulkan. Beberapa hari kemudian, wanita itu dibawa ke Makkah dan dipertemukan dengan pasangannya yang sedang menunggu di sana. Wanita itu diperkenalkan dengan suami dan ibu mertuanya. Aduh... alangkah terperanjatnya wanita itu apabila terpandang suaminya yang cacat. Dia terperanjat besar. Dia sama sekali tidak menyangka suaminya cacat sedemikian rupa. Wanita itu jatuh pengsan. Hasan pun bersedih mengenangkan nasib dirinya. Isteri yang baru ditemui nampaknya enggan menerima Hasan sebagai suaminya.

Melihat keadaan demikian, si ibu yang solehah itu segera mengambil wuduk lalu pergi ke Masjidil Haram lalu mendirikan solat dua raka'at, kemudian berdoa kepada Allah semoga wanita tadi sembuh dari pengsannya.

"Ya Allah, sembuhkanlah menatuku, isteri kepada anak kesayanganku. Limpahkan perasaan kasih dan sayang dihatinya terhadap anakku, dengan rahmat-Mu, wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani," doa si ibu dengan sungguh-sungguh di depan Kaabah.

Si ibu pun lalu mengambil air Zamzam untuk diberi minum kepada menantunya di rumah. Sesampainya dia rumah, Alhamdulillah, si ibu mendapati menantunya sudah sedar. Dia sudah mula mengorak senyum. Sedih telah hilang berganti kegembiraan. Dia bangun memeluk ibu mertuanya dengan erat sambil berkata. "Maafkan saya, ibu. Maaafkan saya, ibu."

Kemudian dia mendekati suaminya sambil berkata "Maafkan saya, bang. Maafkan saya, bang," sambil mencium dahi Hasan, suaminya. Hasan menitis air mata kegembiraan. Dia bersyukur kepada Allah s.w.t. Nampaknya si isteri sudah menerima dirinya sebagai suaminya.

Ya, berkat doa ibunya maka Allah telah meletakkan di hati wanita itu perasaan cinta, kasih dan sayang kepada suaminya yang cacat. Mungkin dia berkata di dalam hatinya, "Kalau aku tidak mahu menjadi isterinya, siapakah wanita lain yang sudi menerimanya sebagai suami."

Hasil perkahwinan mereka itu telah dikurniakan lapan orang anak. Hasan sekeluarga tinggal di sebuah perkampungan kira-kira empat kilometer dari Masjidil Haram. Mereka tinggal di sebuah rumah dua tingkat yang selesa. Hasan hidup bahagia, mendapat limpahan rahmat dan keberkatan Ilahi. Hasan mempunyai sumber pendapatan tetap sara hidup yang lumayan. Dia juga memiliki sebuah kereta siap dengan pemandunya serta pembantu rumah.

Kali terakhir penulis kisah benar ini bertemu dengan salah seorang anak Hasan ialah pada tahun 1998. Penulis tidak dapat bertemu dengan Hasan pada ketika itu kerana Hasan berkebetulan ke Madinah.

Sungguh Allah Maha Kaya, Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia yang mencipta hamba-Nya dan Dialah yang memberi nikmat kesenangan kepada siapa yang dikehendakiNya. Biarpun cacat, kudung kedua tangan serta kakinya, namun Hasan tetap berjiwa takwa. Orang yang bertakwa dikasihi Allah s.w.t.

Allah melimpahi rezeki yang tidak putus-putus dan segala masalah mendapat penyelesaian sebaik-baiknya. Hasan sungguh bahagia, lebih-lebih lagi apabila dia mendapat kasih sayang ibunya dan selalu didoakannya dengan doa-doa kebaikan, tambahan pula segala doa-doa itu dipanjatkan didepan Kaabah.

sumber:iluvislam.com

2011-08-06

70 Kali sehari “Diintai” Malaikat Maut





MEMANG tiada siapa pun dapat menduga bila saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan ‘menanti’ saat kematian mereka.Allah berfirman yang bermaksud: “Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali.” (Surah al-Anbiyak ayat 35)

Tahukah kita bahawa malaikat maut sentiasa merenung serta melihat wajah seseorang itu 70 kali dalam sehari? Andainya manusia sedar hakikat itu, nescaya mereka tidak lalai mengingati mati.

Oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak dapat melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan malaikat Izrail.

Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail:
‘Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.’”

Justeru, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu lagi bergelak sakan dan bersenang-lenang seolah mereka tiada masalah yang perlu difikirkan dalam hidup.

Takdirnya esok hari terakhir Allah ‘pinjamkan’ nyawa kepada kita untuk bernafas di muka bumi ini adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat?

Tiada seorang pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan pengalaman mereka menghadapi saat kematian.

Ajal tidak mengenal sesiapa sama ada mereka itu tua, muda, sihat, kaya atau miskin.

Rasulullah s.a.w juga menjelaskan dalam hadisnya bahawa kesakitan ketika hampir mati itu seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam atau seperti dikoyak kulitnya dari daging ketika hidup-hidup.

Bayangkanlah betapa sakit dan dahsyatnya saat menghadapi kematian. Kalau hendak diikutkan siapa yang hendak nyawanya dicabut dalam keadaan yang amat menyeksakan.

Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan khusnul khatimah(kebajikan).

Salman Al-Farisi meriwayatkan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:

“Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu. Pertama: berpeluh pada pelipis pipinya; kedua: berlinang air matanya dan ketiga: lubang hidungnya kembang kempis.

“Manakala jika ia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, menandakan menandakan azab Allah sedang menimpa dia.” (Hadis riwayat Abdullah, al-Hakim dan at-Tarmizi)

Kematian ‘menjemput’ manusia secara perlahan-lahan atau beransur-ansur mulai daripada jasad, hujung kaki kemudian ke paha.

Bagi orang kafir pula, apabila nyawanya hendak dicabut Izrail, wajahnya akan menjadi gelap dan keruh dan dia mengeruh seperti binatang yang disembelih.

Itu pula tanda azab yang diterimanya disebabkan dosa dan kekufuran mereka.

Al-Qamah bin Abdullah meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari jasadnya dengan perlahan-lahan dan bersopan sementara roh orang kafir pula akan direntap dengan kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut nyawa seekor khimar.”

Allah juga turut menimpakan seorang Muslim yang berdosa itu dengan kekasaran ketika mereka menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai kaffarah dosanya.

Mungkin ada juga orang kafir yang mati dalam ketenangan mungkin kerana ketika hidupnya dia berbuat kebajikan dan itu adalah balasan terhadapnya kerana setiap kebajikan pasti akan dibalas.

Tetapi kerana tidak beriman, ia tidak menjadi pahala kebajikan dan kekufurannya tetap diazab pada hari akhirat kelak.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut.

“Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar.

“Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu.”

Malaikat Izrail menjalankan arahan Allah s.w.t dengan sempurna. Dia tidak diutuskan hanya untuk mencabut roh orang sakit saja ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka.

Kematian mungkin berlaku kerana sebab bencana seperti gempa bumi, banjir,kebakaran dan ada juga yang matinya disebabkan kemalangan, diserang penyakit berbahaya seperti kanser, jantung, Aids, denggi dan taun.

Seorang yang sedang sakit tenat, menjadi rahmat yang tinggi nilainya kerana Allah masih memberi peluang supaya mereka sedar akan kesilapan yang mereka lakukan selama hidup di dunia.

Maka waktu itu mereka masih berpeluang bertaubat dari dosa dan kesilapan. Begitu juga halnya dengan orang mati mengejut disebabkan kemalangan. Ia memberi pengajaran dan peringatan kepada mereka yang masih hidup supaya berhati-hati dan tidak lalai berusaha untuk memperbaiki diri.

Justeru, bagi mereka yang masih diberikan nikmat kehidupan perlu sentiasa mengambil iktibar terhadap segala yang berlaku.

Allah menjadikan sebab kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat maut.

Saidina Abbas meriwayatkan dalam sebuah hadis antara lain menerangkan malaikat Izrail berasa sedih apabila ditugaskan mencabut roh makhluk bernyawa.

Ini kerana antara makhluk bernyawa itu adalah termasuk manusia yang terdiri daripada kekasih Allah iaitu Rasul, nabi, wali dan orang soleh.

Malaikat maut mengadu kepada Allah betapa dirinya tidak disenangi keturunan Adam a.s.

Dia mungkin dicemuh kerana mencabut roh manusia yang mana menyebabkan orang berduka cita akibat kehilangan orang tersayang dalam hidup mereka.

Justeru, jika seseorang Muslim itu meninggal dunia, beberapa langkah penting perlu dilakukan seperti menempatkan jenazah di tempat yang sesuai sebagai menghormatinya, sunat meletakkan keadaan kakinya menghala ke arah kiblat, tanggalkan pakaian berjahit, tutupkan jenazah dengan sehelai kain nipis ke atas seluruh jasadnya, rapatkan kedua-dua belah matanya dan mulutnya, letakkan kedua-dua tangan jenazah di atas dadanya sebagaimana dalam keadaan qiam (berdiri) ketika solat, letakkan sesuatu yang sederhana berat di atas perutnya
seperti gunting dan pisau serta sunat bagi yang hidup mencium jenazah.Umat Islam dilarang mengaitkan kematian seorang Muslim itu dengan tanda tertentu.

Itulah yang menyebabkan umat Islam semakin mundur kerana terlalu banyak mempercayai perkara khurafat dan tahyul.

Jika ada kematian seperti kemalangan contohnya kita ditegah untuk bertanya kepada waris apakah perbuatan ganjil yang dilakukan sebelum kematiannya.

Tiada siapa pun dapat mengelak daripada mati melainkan Allah dan kematian tetap akan datang tepat pada masanya.

Apabila sampai ajal seseorang, umat Islam digalakkan memberi nasihat kepada keluarga si mati supaya bertenang dan banyakkan bersabar.

Islam menegah amalan keterlaluan seperti menjerit dan meratapi kematian.

Mereka yang masih hidup peluang perlu dimanfaatkan dengan memperbaiki keadaan diri yang ternyata banyak melakukan kesilapan dan kesalahan. Tiada daya atau usaha yang boleh menyelamatkan kita daripada kematian.

Kematian menjadikan hati manusia menjadi sedih serta berpisah dengan keluarga tercinta.Hanya amalan soleh saja akan membawa kita bertemu Allah.

Sumber:jalanAkhirat.wordpress.com